ISU-ISU SENI BINA TROPIKA: POKOK-POKOK BESAR SEBAGAI ELEMEN PENEDUHAN
SEMULAJADI YANG DIPINGGIRKAN
oleh Dr.Abdul Majid Ismail
1.0 Abstrak
Pokok-pokok besar perlu dilindungi kerana peranan positifnya terhadap
persekitaran fizikal kita. Kertas ini cuba mebongkar keadaan kurang peka terhadap peranan
yang dimainkan oleh pokok-pokok besar di kawasan pembangunan baru dan mengemukaan keadaan
yang sepatutnya dilakukan. Peranan pokok-pokok besar sebagai elemen peneduhan semulajadi
amat perlu kita fahami terutamanya dalam menangani isu-isu semasa seni bina tropika dalam
konteks persekitaran fizikal seumpama peningkatan suhu yang keterlaluan dan
ketidakselesaan yang telah dialami oleh negara kita beberapa tahun yang silam . Keadaan
ini sebahagiannya berpunca daripada pemusnahan kawasan hijau secara besar-besaran untuk
pembangunan tanpa kawalan dan ketandusan sistem penenanaman semula yang berkesan.
2.0 Pengenalan
Pembangunan fizikal di negara kita kini telah terlalu meminggirkan
peranan dan kepentingan pohon-pohon kayu yang rendang sebagai elemen semulajadi yang
banyak memberi manfaat. Kebanyakan kawasan yang baru dibangunkan dipenuhi oleh hutan
konkrit dan kawasan gondol yang terasa amat panas dan menyilaukan. Sungguhpun terdapat
peruntukan undang-undang dan garis panduan bagi memastikan penanaman pokok (Akta
Perancang Bandar dan Desa, 1976, Bahagian VA) dan penerapan elemen-elemen landskap
sebagai pelembut dan penyeri persekitaran (Garis Panduan Landskap Negara 1995)
tetapi malangnya di kebanyakan bandar-bandar dan di kawasan perumahan baru, keadaan masih
lagi memilukan. Pokok-pokok yang ditanam merupakan anak-anak pokok yang masih terlalu
halus dan akan memakan masa puluhan tahun untuk menjadi besar dan rendang serta berupaya
memberikan faedah yang optimum. Di sesetengah kawasan perumahan pula, pokok pokok yang
baru mula hidup subur terpaksa dipotong dahannya dan dirosakkan rupa-bentuknya semata-mata
kerana ia mengganggu dawai elektrik yang terdedah. Kesilapan seperti ini bukan sahaja
telah berlaku pada peringkat penyelenggaraan kawasan yang telah sedia dibangunkan tetapi
pada peringkat awal lagi iaitu semasa proses penyediaan tapak binaan. Pelaksanaan akta
atau undang-undang yang diperuntukan bagi mengekalkan sebahagian daripada pokok besar yang
sedia ada di tapak (Bahagian 35A, Akta Perancang Bandar dan Desa,1976) masih lagi
kabur dan terabai. Oleh itu, tapak pembinaan lazimnya akan digondolkan dan kesemua pokok
dimusnahkan sebelum pembinaan bangunan dimulakan. Kesilapan-kesilapan seperti ini perlu
diperbaiki dan diatasi segera sebelum masalah alam sekitar kita akan menjadi lebih gawat
dengan peningkatan suhu yang tidak lagi tertahan dan kualiti udara yang terlalu tercemar.
Wawasan untuk menjadikan Malaysia sebagai "Negara Taman" pada tahun 2005
mungkin tidak akan tercapai sekiranya kesedaran terhadap kepentingan komponen asas elemen
seni taman ini tidak diberi penekanan dengan sewajarnya.
Pohon-pohon kayu yang rendang sebenarnya bukan sahaja berperanan
mengindahkan lagi suasana di satu-satu petempatan tetapi lebih penting lagi dapat
memberikan peneduhan kepada manusia dan persekitarannya agar peningkatan suhu bahangan
dapat dikawal. Kombinasi pohon-pohon besar yang sedia ada dan pohon-pohon baru akan dapat
memberikan perlindungan dan peneduhan kepada pejalan kaki, tempat-tempat riadah; meneduhi
kereta dan juga sebahagian daripada bangunan dari panahan sinar matahari langsung yang
keterlaluan. Dedaun pokok besar bertindak seperti penapis dengan mengurangkan penembusan
sinar matahari langsung yang akan sampai ke permukaan tanah. Seterusnya pengurangan
pendedahan permukaan tanah (kawasan keras) kepada sinar matahari langsung akan
mengurangkan pancaran semula bahang panas tanah dan akhirnya pengurangan peningkatan suhu
secara keseluruhan akan dapat dihasilkan. Sungguhpun pohon-pohon besar perlu
penyelenggaraan khususnya daripada segi pembersihan daun-daun kering yang gugur, akarnya
boleh merosakkan longkang dan paip bawah tanah serta pengawalan pertumbuhannya, namun
kebaikan yang diperolehi menerusi keupayaannya dalam mengawal peningkatan suhu, hakisan
tanah dan penumpuan tiupan angin amat penting sekali. Pengekalan keseimbangan di antara
kawasan berkonktrit dan kawasan hijau perlukan kefahaman terhadap peranan pokok dan
tumbuh-tumbuhan dalam mengimbangi kesan negatif panas matahari yang keterlaluan.
2.0 Konsep-konsep asas peneduhan
Sinaran matahari secara terus atau langsung yang membawa haba akan
menyebabkan peningkatan suhu dan selalunya ditangkis daripada mengenai badan kita dengan
penggunaan elemen pakaian seperti topi, tudung atau payung. Para petani, boroh dan nelayan
yang senentiasa bekerja ditengah panas terik lazimnya menggunakan topi besar untuk
melindungi kepala dan muka (Rajah 1). Di dalam rumah pula, bumbung dan unjuran mempunyai
peranan yang sama bagi melindungi penghuninya daripada kesan bahang panas matahari (Rajah
2). Manakala di luar rumah, pohon-pohon besar mempunyai peranan yang sama seperti topi
atau bumbung rumah iaitu, untuk melindungi dan meneduhi manusia, peralatan, kenderaan dan
bangunan daripada bahang panas matahari yang keterlaluan. (Rajah 3).

Rajah 1: Petani memakai topi pelindung untuk meneduhi kepala dari
bahang panas matahari.

Rajah 2: Bumbung dan unjuran pada bangunan meneduhi penghuni
daripada sinaran terus matahari

Rajah 3: Pokok-pokok besar berperanan meneduhi rumah, kereta dan
manusia daripada panas terik matahari
3.0 Contoh-contoh keadaan negatif yang perlu diperbetul
3.1 Penebangan pokok dan penggondolan keseluruhan tapak bina
Kelaziman membersihkan keseluruhan tapak dengan menebang kesemua pokok
dan meratakan keseluruhan tanah untuk memaksimumkan kawasan bangunan dan infrastruktur
perlu dikaji semula. Pihak Penguasa Tempatan perlu menakrif dan melaksana Bahagian 35A
Akta Perancang Bandar dan Desa dengan lebih teliti. Rajah 4 menunjukkan contoh bagaimana
kawasan tapak pembinaan yang telah gondol keseluruhannya. Sebahagian daripada pokok besar
yang berkeadaan elok sepatutnya dikekalkan tumbuh diatas tapak khususnya dalam membantu
penyediaan landskap kawasan lapang, kawasan simpanan jalan dan kawasan penimbal.
Pohon-pohon yang dikekalkan akan menjadi mercu tanda dan sebahagiannya dapat mengurangkan
kesan hakisan tanah yang akhirnya akan menyebabkan pencemaran air.

Rajah 4: Contoh sebuah kawasan pembangunan yang telah digondolkan
keseluruhannya.
3.2 Penyediaan medan letak kereta terbuka tanpa sebarang peneduhan.
Kereta yang diletakkan di kawasan terbuka tanpa sebarang peneduhan
sebenarnya akan mudah uzur dan mengalami peningkatan suhu dalaman yang keterlauan Kesan
rumah kaca akan berlaku di dalam kereta yang tertutup rapat dan terdedah pada bahang
matahari langsung oleh kemasukan sinaran gelombang pendek infra merah dan terperangkapnya
sinaran gelombang panjang oleh kaca tingkap. Suhu dalaman kereta akan meningkat melebihi
suhu udara luar dengan banyaknya sehinggakan kalau terdapat buah pisang yang masak
diletakkan di dalamnya, ia akan menjadi ranum dan lembik dalam tempoh tidak sampai
beberapa jam sahaja. Rajah 5 menunjukkan medan letak kereta tanpa sebarang peneduhan yang
sebenarnya kurang diminati kecuali dalam keadaan terpaksa tanpa sebarang pilihan lain.
Dalam iklim panas-lempbap tropika seperti negara kita, tempat letak kereta terbuka
sebenarnya perlukan peneduhan terutamanya oleh pokok-pokok besar dan rimbun bagi
mengurangkan penigkatan suhu bahangan (Rajah 6). Kawasan lapang yang tidak berpeneduh dan
berumput seperti medan letak kereta sebenarnya merupakan punca pemancaran semula bahang
panas matahari daripada permukaannya ke udara yang akan menjadi penyebab utama pertambahan
suhu udara setempat.

Rajah 5: Medan letak kereta tanpa peneduhan yang kelihatan lengang
kecuali di kawasan teduh.

Rajah 6: Medan letak kereta yang kelihatan sejuk dan nyaman oleh
teduhan yang diperolehi daripada pohon-pohon kayu yang menghijau dan rimbun.
3.3 Laluan pejalan kaki tanpa peneduhan
Kawasan pejalan kaki seumpama kakilima pada bahu jalan atau
laluan-laluan khas yang disediakan tanpa sebarang bentuk peneduhan sama ada oleh
pokok-pokok atau pergola sebenarnya tidak dapat memberikan keselesaan kepada penggunanya.
Sekiranya kawasan pejalan kaki itu bersimen dan tidak berpeneduh, pengguna akan terdedah
kepada bahang matahari dan bahang simen yang akan mengakibatkan keadaan terlalu panas dan
kelekitan badan oleh peluh di samping terpaksa menghadapi silau pantulan yang tidak
menyenangkan. Rajah 7 menunjukkan bagaimana pengguna terpaksa mengharungi panas terik
untuk berjalan di kaki-lima jalan tanpa peneduhan. Pengguna lazimnya akan melencong dan
berjalan melalui bawah pokok daripada laluan yang cantik tetapi tidak berpeneduh khususnya
pada waktu dinihari. Deretan pokok-pokok yang rimbun perlu ditanam disepanjang kakilima
pada bahu jalan untuk meneduhi pejalan kaki dan juga para pengguna lain (Rajah 8).

Rajah 7: Laluan pejalan kaki tanpa peneduhan walupun indah tetapi tidak
berupaya memberi keselesaan kepada penggunanya

Rajah 8: Lihatlah betapa selesanya berjalan kaki di kakilima yang
diteduhi oleh pohon-pohon kayu yang rendang pada waktu panas terik walaupun laluannya
tiada dilengkapi dengan jubin yang indah-indah
3.4 Ruang terbuka dan tempat permainan tanpa peneduhan
Penyediaan ruang terbuka memang diperlukan untuk satu-satu kawasan
perumahan, namun kadangkala lokasinya kurang sesuai kerana ia merupakan kawasan lebihan
yang tidak dirancang dan tanpa sebarang elemen peneduhan diperuntukkan. Ruang terbuka
walaupun tersedia dengan tempat-tempat duduk yang indah dan alatan permainan kakak-kanak
yang mencukupi tetapi tiada tersedia dengan elemen peneduhan khususnya pokok-pokok besar
sebenarnya masih kurang sesuai dalam memberikan keselesaan kepada pengunjungnya (Rajah 9).
Bahang matahari tetap akan memanaskan elemen-elemen peralatan seumpama tempat-tempat duduk
dan alatan permainan dan tidak dapat dimanfaatkan terutama pada waktu tengah hari. Ia
mungkin hanya dapat dimanfaatkan pada awal pagi ataupun lewat petang. Pohon-pohon kayu
yang rendang yang ditanam di sekitar kawasan terbuka ini akan dapat meneduhi pengguna dan
peralatan daripada keterikan panas matahari, oleh itu tempat seperti ini akan dirasai
lebih nyaman dan selesa (Rajah 10).

Rajah 9: Ruang lapang tempat permainan kanak-kanak yang terdedah terus
kepada panas terik kerana kekurangan penyediaan pokok-pokok besar disekitarnya.

Rajah 10: Ruang lapang tempat permainan kanak-kanak yang diteduhi oleh
pokok-pokok rendang kelihatan lebih selesa dan diminati ramai.
3.5. Dinding bangunan yang terdedah terus kepada sinar matahari
Bangunan-bangunan yang rendah seperti rumah satu hingga dua tingkat
masih dapat menerima faedah daripada peneduhan semulajadi yang diperolehi menerusi
pohon-pohon kayu yang besar dan rimbun khususnya dalam mengurangkan kesan sinaran matahari
langsung pada bahagian bumbung dan dindingnya. Dinding yang menghadap arah barat dan tanpa
sebarang peneduhan akan menerima haba matahari yang tinggi pada lewat tengah hari dan
petang. Haba matahari ini sebahagiannya akan tersimpan pada bumbung dan dinding,
kemudiannya dialirkan dan dipancarkan semula ke dalam ruang bangunan pada lewat petang dan
awal malam. Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan suhu dalaman bangunan walaupun
selepas waktu matahari telah terbenam. Peneduhan oleh pepohon kayu akan dapat mengurangkan
kesan tambahan haba matahari pada bahagian luar bangunan dan keadaan ini akan dapat
mencegah dan mengurangkan keadaan negatif seperti di atas (Rajah 11).

Rajah 11: Pohon-pohon kayu yang rendang berupaya meneduhi bangunan bagi
mengurangkan kesan haba matahari dan meredakan sebahagian daripada kepanasan dalam
bangunan.
3.6 Penanaman anak-anak pokok yang masih terlalu kecil
Untuk menjimatkan kos, pemaju lazimnya memilih menanam anak-anak pokok
yang masih terlalu kecil pada bahu jalan kawasan perumahan baru dengan harapan dapat
memenuhi keperluan sepertimana yang dikehendaki oleh pihak Penguasa Tempatan.
Kadang-kadang pihak Penguasa Tempatan sendiri juga menanam batang-batang pokok dengan
harapan ia akan tumbuh secara semulajadi. Amat malang sekali, anak-anak pokok-pokok besar
yang masih terlalu muda ini akan mengambil masa puluhan tahun untuk tumbuh membesar hingga
ketahap yang boleh memainkan peranan sebagai elemen peneduhan. Oleh sebab keadaan tanah
dan cuaca, pokok pokok ini kerap kali terencat dan terbantut pertumbuhannya sehinggakan
ada yang mati dan hidup merana. Rajah 12 menunjukkan salah satu contoh kawasan perumahan
baru yang ditanami dengan anak-anak pokok Mimussops eleggi (Bunga Tanjung) yang masih
terlalu kecil. Sebahagian peranan pokok sebagai peneduh dan pelembut persekitaran mungkin
dapat dipenuhi sekiranya hanya pokok-pokok yang telah matang ditanam di kawasan perumahan
atau sekiranya pengekalan sebahagian pokok besar di tapak binaan diamalkan.

Rajah 12: Sebuah kawasan perumahan baru yang ditanami dengan anak-anak
pokok yang masih terlalu kecil.
4.0 Kesimpulan
Keadaan negatif yang telah dikemukakan menggambarkan betapa kita masih
kurang memberi penekanan terhadap pembentukan persekitaran yang selesa pada bandar dan
taman perumahan baru menerusi penerapan elemen-elemen semulajadi seperti pokok-pokok kayu
besar dan elemen-elemen landskap lain. Pohon-pohon kayu yang rimbun sebagai elemen
peneduhan semulajadi berupaya mengurangkan kesan-kesan peningkatan suhu udara yang
keterlaluan menerusi peranannya dalam menapis dan mengurangkan penembusan kesan sinaran
langsung matahari ke permukaan bumi. Oleh yang demikian, pengekalan pokok-pokok besar dan
penanaman semula pokok-pokok yang matang untuk memenuhi peranannya sebagai peneduh
semulajadi di samping memperindah persekitaran kita perlu diperhebat lagi. Akhirnya kita
akan dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan nyaman tanpa mengalami sebarang masalah
kepanasan yang keterlaluan dan kesan negatif anasir-anasir pencemaran lain yang berkaitan.
5.0 Rujukan
- Warta Kerajaan Malaysia, Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976
- Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Garis Panduan Landskap Negara, 1995
- Brenda dan Vale.R, Green Architecture - Design for A Sustainable Future, Thames and Hudson Ltd. London, 1992.
- McHarg, I.L, Design With Nature, National History Press, New York. 1969.
- Thomas R, Environmental Design - An Introduction for Architects and Engineers, Max Fordham & Partners. 1996.
- Ismail A.M. Keberkesanan Rekabentuk Alat Peneduhan Bangunan Bagi Melindungi Bangunan Daripada Sinaran Matahari Langsung dan Hujan, Laporan Penyelidikan Jangka Pendek, Gran Penyelidikan USM. 1992.
No comments:
Post a Comment