Saturday, 15 September 2012

Penanaman pokok

PROGRAM penanaman pokok dengan sasaran sebanyak tiga juta pokok menjelang 2000 dan 20 juta menjelang 2020 adalah sebahagian usaha Malaysia menambah kawasan hijau sedia ada.
Langkah ini juga sejajar persetujuan Malaysia mengekalkan 50 peratus
keluasan negara sebagai kawasan hutan atau kawasan hijau mengikut Agenda
21 Persidangan Kemuncak Dunia di Rio de Janeiro.
Malaysia tidak pernah berdolak dalik dalam usaha menyeimbangi antara
pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Ini kerana walaupun negara ini
dalam kategori negara maju, kira-kira 75 peratus muka buminya masih
dilitupi hutan, tanaman pertanian dan taman yang kaya dengan sumber
kepelbagaian biologi yang, merangkumi 185,000 spesies fauna dan 12,500
flora.
Kepelbagaian ini menyebabkan Malaysia diiktiraf antara 12 kawasan mega
yang kaya dengan kepelbagaian biologi di dunia.
Kepentingan kawasan hijau memang tidak dapat dinafikan kerana walaupun
pembangunan itu perlu, kita tidak boleh mengabaikan sumber oksigen dan
penyeimbang cuaca sekeliling itu.
Dalam merealisasikan usaha berkenaan, Malaysia mensasarkan wawasan
mencapai status Negara Dalam Taman menjelang tahun 2005.
Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Seri Law Heing Ding,
berkata berpandukan usaha pengekalan kawasan hijau, bererti kawasan hutan
sedia ada perlu diuruskan secara berkekalan dan berterusan.
Pada masa sama, pertumbuhan dan penambahan pokok di kawasan lapang dan bandar perlu dilakukan.
Dalam usaha berkenaan, bandar juga akan ditanam dengan pokok, namun
pemilihan spesies pokok yang hendak ditanam perlu diberi perhatian
sewajarnya.
Disebabkan ramai manusia yang tidak mahu `susah' dalam penjagaan pokok,
beberapa faktor perlu diberi perhatian sebelum menanam sebarang kategori
pokok.
Adnan Mohamad dalam buku Perhutanan dan Alam Sekitar, berkata salah satu
fungsi pokok yang penting di bandar ialah meredakan keadaan panas
keterlaluan. Katanya, kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kawasan
yang ditanami beberapa batang pokok, khususnya di taman kecil di Kuala
Lumpur, mempunyai suhu persekitaran antara dua hingga lima darjah lebih
rendah berbanding kawasan tidak berpokok.
"Keadaan seperti ini sudah tentunya memberi sedikit keselesaan kepada
pejalan kaki di bandar," katanya.
Oleh kerana masyarakat bandar hari ini semakin tertekan dengan gaya
hidup moden yang semakin canggih, dapat mengurangi ketegangan atau tekanan sekiranya mereka dapat memperbaharui semula perhubungan alam semula jadi dengan cara berekreasi.
Adnan berkata, walaupun usaha menanam pokok berjaya menghijau dan
menghutan semula kawasan bandar, namun usaha menanam dan menguruskan kawasan ini tidak dijalankan tanpa perancangan yang berkesan.
"Pengindahan bandar tidak seharusnya menekankan kepada usaha menanam
saja tetapi penyelenggaraan dan pengurusan kawasan hijau terbaik agar ia
dapat memberi faedah sepatutnya," katanya.
Sementara itu Infoplant terbitan Institut Penyelidikan Perhutanan Negara
(Frim) menyatakan kerap semasa proses pemilihan pokok, perkara utama yang
ditekankan adalah keindahan, diikuti saiz, penyenggaraan dan keperluan
persekitaran. Pada pemilihan ini, jenis pokok yang sedikit penyelenggaraan
sering diketepikan.
"Oleh kerana persekitaran juga berkaitan penyelenggaraan, faktor ini
seharusnya ditekankan terlebih dulu. Faktor persekitaran yang utama adalah
kawasan penanaman yang merangkumi jenis tanah, topografi, iklim mikro,
pencemaran dan kewujudan hidupan lain.
"Mengenali tapak penanaman, bukan saja memudahkan kerja penanaman, malah dapat menentukan jenis pokok yang sesuai ditanam.
"Perkara kedua yang perlu ditekankan ialah saiz pokok. Saiz pokok tidak
hanya merujuk kepada apa yang dapat dilihat di atas tanah tetapi juga
membabitkan akar pokok.
"Oleh itu kawasan penanaman dan jenis tanah yang sesuai amat penting
bagi memastikan sistem akar pokok dapat berkembang dengan baik," katanya.
Selain mengkaji ciri positif, perkara yang harus diteliti sama ada ia
menggugurkan daun yang banyak pada masa-masa tertentu, mengeluarkan buah yang besar atau kadar tumbesarannya terlalu cepat.
"Secara tidak langsung perkara ini dapat membantu pemilihan kawasan dan
penyenggaran yang betul. Selain itu, pemilihan pokok harus berasaskan
pengetahuan mengenai pengawalan penyakit dan perosak, sistem pengairan dan pembajaan," katanya.
Kerana manfaat yang pelbagai, kempen penanaman pokok amat wajar diberi
perhatian yang menyeluruh oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan,
agensi bukan kerajaan, sektor swasta dan orang awam seiring dengan Negara
dalam Taman menjelang 2005.
Justeru Sempena Hari Habitat Sedunia 2000 Oktober tahun lalu Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengetuai rakyat Malaysia
menjayakan usaha menanam 100,000 Pokok Alaf Baru 2000 di Taman Bukit
Jalil, Kuala Lumpur. Kejayaan ini sekali gus membuktikan Malaysia benar-benar serius dalam pengekalan kawasan hijau.
Dalam tempoh seminit 100,000 pokok daripada 30 spesies ditanam serentak
di seluruh negara sempena Hari Habitat Sedunia 2000.
Kejayaan itu mengatasi rekod Guiness Book of Records yang dicipta di
Brazil iaitu menanam 24,199 pokok dalam tempoh seminggu di Sao Paulo pada April 1996.
Kegiatan yang dikelolakan satu kumpulan yang dipanggil Tree Planting
Group (TPG) dianggotai Persatuan Pencinta Alam (MNS), Institut
Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) , Persatuan Penilai dan Perunding
Harta Swasta Malaysia (Peps), Kelab Lions Malaysia dan Pertubuhan Hartanah
Antarabangsa Malaysia.
Namun pemilihan pokok yang betul dan tidak membebankan individu dapat
menggalakkan orang ramai menanam pokok.
Dalam konteks Malaysia yang beriklim tropika, fungsi pokok dalam
menstabilkan keadaan alam sekitar perlu diketahui. Pokok sebenarnya
berfungsi secara biogeografi sekurang-kurangnya seperti membantu
mengurangkan hakisan tanah.
Dengan adanya hujan tropika yang lebat seperti di Malaysia, pokok dapat
membantu mengurangkan kesan timpaan hujan ke atas tanah. Pengurangan ini dapat pula mengurangkan intensi hakisan yang akhirnya dapat mengurangkan masalah pencemaran air sungai.
Walaupun peratus karbon dioksida dalam udara adalah kecil iaitu 0.03
peratus tetapi ia mempunyai peranan besar dalam meningkatkan suhu dunia.
Peningkatan karbon dioksida dalam atmosfera berpunca daripada
peningkatan pelepasan karbon sejak beberapa dekad yang lalu.Pada 1980,
pelepasan karbon adalah melebihi 6.6 bilion tan, sementara pada 1989 ia
melebihi 7.7 bilion tan.
Berdasarkan kajian, serumpun pokok dapat menurunkan suhu di kawasan
sekitarnya sehingga 10 darjah selsius.
Pokok mempunyai nilai sentimen tersendiri bukan saja kepada manusia, malah
haiwan memerlukannya sebagai tempat teduh dan sumber makanan.
Berdasarkan kajian yang dibuat di luar negara, penanaman sejumlah
500,000 pokok boleh menyerap 6,500 tan metrik habuk atau satu tan metrik
habuk bagi setiap 77 pokok.
Malah satu hektar kawasan yang ditanam dengan pokok menyerap 900
kilogram karbon dioksida dan mengeluarkan 600 kilogram oksigen. Hasil
kajian lain juga menunjukkan kawasan seluas 40 meter persegi yang ditanam
dengan pokok rendang dapat mengeluarkan cukup oksigen untuk pernafasan
seseorang.
Jabatan Perhutanan menerusi pelbagai kempen anjurannya bertujuan
meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pokok, antaranya
menggalakkan kempen menanam pokok dan usaha mewujudkan handar dalam taman dan program pokok angkat yang mana individu boleh mengambil inisiatif daripada Frim dengan membeli anak pokok dan menanam spesies pohon hutan di pekarangan rumah.
Justeru, pelbagai pihak menyambut baik janji Malaysia dalam Agenda 21
berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan hijau negara. Namun sejauh mana usaha itu akan berjaya, ia bergantung kepada kesungguhan semua pihak
termasuk rakyat.

No comments:

Post a Comment